Terima kasih sudi singgah ke blog yang tidak seberapanya ini. Kalau kawan-kawan ada info berguna, atau ingin menegur kesilapan aku, dipersilakan, tapi tegurlah secara positif sebab aku akan lebih hargai mereka yang menegur secara positif dan mendoakan kesejahteraan mereka. Sekian.
gambar sugar glider ku tahun lepas, bertarikh 23 Mei 2012
Selamat pagi kengkawan semua. Setiap orang ada binatang peliharaan masing-masing kan? Ada pelbagai sebab yang membuatkan kita tertarik ingin membela sesuatu binatang. Kali ini aku nak berkongsi sedikit tips yang aku dapat dari group SUGAR GLIDER - MALAYSIA (SGM).
gambar sugar glider ku tahun lepas, bertarikh 26 Mei 2012
Group ni memang best sebab tak kedekut ilmu dan cara diorang menyampaikan ilmu pun santai dan berkhemah. Aku dah membela Sugar Glider ni lebih kurang 2 tahun dan baru tahun ini aku join group SGM ni. Sekarang Sugar Glider ku sudah 11 ekor dan aku rasa dah 12 kot sebab aku nampak ade yang mengandung. Apa-apa pon semoga SG aku bertambah banyak dan sihat semuanya.
gambar sugar glider ku tahun ini, bertarikh 27 Januari 2012
Tak lupa juga terima kasih atas komen berkhemah encik anonymos terhadap aku.
gambar sugar glider ku tahun ini, bertarikh 31 Januari 2012
Di bawah ini adalah antara ilmu yang dikongsi oleh rakan2 SGM kepada aku supaya aku dapat membela SG aku dengan lebih baik.
dari SN: Sugar Glider tak boleh bagi makanan kucing, memang nampak sihat tetapi dalaman kita tak tahu. Sediakan sleeping pouch supaya SG tidak kesejukan. boleh bagi sugar glider makan telur rebus (putih telur je) dan ayam rebus.
dari AP: masing2 ada pengalaman, mungkin ada SG yang mati sebab salah bagi makan.
dari FK: suratkhabar tak boleh buat lapik sugar glider tidur sebab ada chemical, bahaya untuk small pet.
dari NMAE: buat sangkat atau tempat tidur lebih untuk elak inbreed (sumbang mahram)
sebenarnya ada berpuluh komen yang aku dapat bila berbincang dengan otai2 SGM ni. kalau nak baca keseluruhan perbincangan kami, korang boleh KE SINI.
gambar sugar glider ku tahun ini, bertarikh 28 Mac 2013
Jadikan FB kita tempat anda mencari dan berkongsi ilmu. Bukan dok berpoya2.
Selamat menjamu selera dan selamat menjaga sugar glider dengan baik.
Bismillah, selamat pagi kengkawan semua, harap semua sihat sejahtera hendaknya. Pergh, dah macam tulis karangan pulak. Korang pernah tak dengar mengenai mandi malam yang menjadi punca kepada penyakit paru-paru berair? kalau yang lepas aku ada ceritakan mengenai bahaya panadol, kali ni aku nak bercerita mengenai bahaya mandi malam pulak.
Bahaya ke? Semestinya merbahaya jikalau anda mandi pada waktu malam, sekiranya anda tidak menutup pintu bilik air mahupun anda mandi dalam keadaan bogel. Adalah lebih selamat sekiranya anda mandi memakai kain mahupun boxer. Bukan ape, mane la tau ada mata-mata jahat dok skodeng kan.
Ape aku dok melalut ni? huhu. OK2. Terus pada tajuk kita mengenai mandi malam ni. Dulu nya (sehingga sekarang pun) aku masih percaya bahawasanya mandi malam boleh menyebabkan paru-paru berair. Ini kerana semasa aku kecil dulu, seorang penduduk kampung aku meninggal dunia akibat paru-paru berair. Menurut kisah penduduk kampung, arwah ni selalu balik kerja lewat malam. Boleh dikatakan hari-hari arwah ni balik waktu malam dan terus mandi. Bila dia meninggal dunia, doktor mengatakan dia menghidap paru-paru berair. Sejak dari kejadian itu, aku takut nak mandi malam.
Tetapi, sejauh manakah kebenarannya?
Aku terbaca harian metro sebentar tadi, korang boleh baca sendiri. Jadi, selepas ini, jangan takut untuk mandi malam mahupun mandi wajib.
"Tidak, mandi malam tidak memudaratkan kesihatan mahupun mendatangkan penyakit paru-paru berair, yang dikaitkan dengan masalah Pulmonari Edema dan pneumonia.
PE merujuk kepada masalah pengumpulan air berlebihan pada ruang antara tisu dan organ. Ini menyebabkan bahagian berkenaan kelihatan berair serta bengkak, justeru mengundang salah faham ramai yang tidak peka dan kurang inisiatif dalam pencarian sebenar dunia perubatan.
PE diakibatkan kecederaan pada permukaan paru-paru dan kegagalan fungsi bahagian kiri (left ventricle) jantung. Ia tidak disebabkan oleh jangkitan atau kemasukan wap air ketika mandi. Perkara ini tidak mudah seperti apa yang bermain dalam fikiran pembaca yang mempercayai salah faham mandi malam."
di atas ini adalah petikan dari harian metro, baca berita penuh di sini
gambar hiasan : ibu kucing memandikan anak angkatnya dengan menjilat
di akhbar melaporkan suami yang ketagih arak dan dadah telah membunuh isteri yang dikahwininya selama 11 tahun. kami yang bujang ni punyalah susah nak cari duit nak kawen, dengan harapan bini kami dapat menjaga kami, dapat hilangkan penat kami bekerja, dapat hilangkan stress kami, kamu senang2 je bunuh isteri kamu. indah sangat ke arak dan dadah itu?
PSSSTTT...moga kami, lelaki, bila dah kawen nanti, menjadi lelaki yang menjaga isterinya. bukan melepaskan kemarahan pada isteri.
sedih tengok muda depan akhbar, perselisihan faham antara ibu dan anak (artis) sehingga anaknya ingin menyaman ibunya. pendapat aku yang cetek ilmu ni, masing2 tengah marah jadi akal tidak seimbang berfikir. seeloknya jumpa depan2 antara ibu dan anak dan luahkan apa yang terbuku di hati. dengan bahasa yang elok. lembutkan hati, saling memaafi.
PSSSTTT...masa kecil, keluargaku susah teramat. aku pula sakit2. ayah ku yang bekerja tergerak hati balik ke rumah membawaku ke hospital. ibu ku pula menjagaku sepenuh hati. kalau terlambat, mungkin aku tiada lagi di sini. berkuat kuasa tuhan juga.
Selamat tengahari kengkawan semua. Baru hari ni aku dapat gagahkan diri untuk menulis pengalaman pahit yang menimpa keluargaku pada 8 Mei 2013 jam 3.30 pagi. Pengalaman itu menyebabkan kami kerugian berpuluh ribu ringgit. Habis semua duit pelanggan kami dicuri. Tapi alhamdulillah, kami semua tidak mengalami kecederaan yang teruk.
7 Mei 2013. 8 malam - Waktu itu aku baru selesai solat maghrib (balik kerja lewat). Aku terus baring dikatil. Aku memang dah niat nak tengok bola JDT lawan ATM malam itu di warung tunangku Cik Pija. Malam itu aku merasa amat letih. Tidak tahu mengapa. Aku rasa amat malas nak keluar rumah mahupun keluar dari bilik. Dan selepas kejadian itu, baru keluarga ku mengadu perkara yang sama. Masing-masing rasa letih yang teramat sangat. Mungkin ini kebetulan. Wallahualam...
8 Mei 2012 jam 3.30 pagi - Aku tersentak dari tidur. Aku terdengar bunyi hentakan yang kuat dari luar bilikku. Dalam keadaan yang mamai aku cuma terfikir adakah ayah aku sedang memukul ular ataupun binatang berbisa yang masuk ke rumah. Tapi hentakan tu teramat kuat. Aku pun keluar dari bilik tidur ku dan mencari di mana bunyi itu datang. Dalam gelap itu aku menghala ke bilik tidur utama. Memang ternyata bunyi itu datang dari situ. Sedang aku cuba menajamkan mataku yang kuyu itu, tetiba aku terlihat seorang manusia yang berselubung sedang mencekik adik ku yang berumur 17 tahun sambil menghunus pisau di leher adikku. Dia mengarahkan aku datang ke arahnya. Aku cuma mampu mengikutnya sambil tak putus-putus aku beristighfar. Bunyi hentakan yang kuat tadi rupanya datang dari hentakan tong gas ke pintu bilik ibu bapa ku.
Aku diarahkan untuk duduk di katil bersama ibu bapaku dan adikku. Adikku sudah menangis tersesak-esak kerana dia baru sahaja dijadikan tebusan. Pisau di lehernya. Siapa yang tidak takut? Aku hanya mampu menenangkan ahli keluargaku. Selepas itu perompak itu ke bilik adik-adik ku yang lain. Di kumpul satu tempat iaitu bilik tidur ibu bapaku dan tangan kami diikat.
Mereka menyuruh ibu dan adik-adikku membuka rantai emas di leher dan tangan. selepas menggeledah bilik tidur ibu bapa ku, mereka masih tidak berpuas hati. Mereka mahukan wang yang lebih. Seperti mereka tahu aku ada menyorokkan wang di tempat lain. Ayah aku cuba melawan dengan mengatakan kami sudah tiada duit, tapi malangnya dia ditumbuk dengan kuat di dada dan di mata. Aku meminta ayah aku bertenang. Aku tak mahu mereka mengapa-apakan ahli keluarga ku. Dengan peralatan yang diguna mereka (cutter besar, screw driver dan pisau ibu ku) aku tidak mahu ahli keluargaku tercedera.
Aku membawa salah seorang dari mereka ke bilikku dan memberikan semua wang di dalam dompetku termasuklah wang di dalam tabung kahwin yang aku baru buat beberapa hari lepas. Semua diambil. Jam tangan yang aku beli sempena mendapat gaji pertama kerja pun diambil. Mereka terus menggeledah bilikku dan bilik adik-adikku yang lain.
Mereka masih tidak berpuas hati. Mereka tanya lagi mana lagi duit. Kami hanya mampu berkata tiada. Aku pula merayu supaya mereka cepat pergi kerana aku ingin membawa bapa ku ke hospital. Aku tak sanggup melihat ayahku terbaring sakit. Aku meminta ahli keluarga bertenang.
Tidak lama selepas itu, salah seorang daripada mereka masuk kembali ke bilik tidur utama dan bertanyakan mengenai beg di dalam kereta ku. Dia ternampak beg yang aku sorokkan di bawah tempat duduk kereta ku. Rupa-rupanya mereka turut menyelongkar semua kenderaanku kecuali kereta aku. Kuncinya memang aku simpan. Mereka mengugut akan membunuh ibu bapaku jika aku tidak memberi kunci. Setelah aku berikan kunci kereta, mereka terus mengikat kaki dan tangan kami dengan lebih ketat dan mereka berempat terus keluar. Aku berasa amat terkilan kerana dalam beg itulah berisi wang milik pelanggan-pelangganku.
Setelah beberapa minit, mereka tidak kembali, kami pun berusaha membuka ikatan masing-masing. Ayah aku mencari pengawal di luar, dia telah diikat tangan, kaki dan mulut. Aku pula terus menghubungi pihak polis.
Malang tidak berbau. Aku harap kisah ini menjadi pengajaran kepada rakan-rakan dan juga diriku sendiri. Selepas ini, kita kena lebih berhati-hati. Terima kasih kepada mereka yang sentiasa memberi semangat kepada aku dan keluargaku. Kepada pelanggan-pelanggan ku, terima kasih kerana memahami masalah dan musibah yang menimpa diriku dan keluarga ku. Aku akan tetap berusaha memberikan khidmat yang terbaik kepada pelanggan-pelanggan ku.
Nasib baik aku ada TUHAN. tanpa DIA, aku tak mampu bertahan sehingga sekarang. Sama-samalah berdoa untuk keselamatan diri dan keluarga masing-masing.
Bismillah...ibu yang melahirkan kita beb. Hormat lah mak bapak. Aku tau korang baru nak meningkat naik. Darah muda. Semua nak langgar. Mak Bapak pun kau tak hormat kan? Tapi nape bila nak kena tahan polis kau kecut perut? kenape kau menanges? Polis tu kau tau takut, tau kau hormat. Tapi mak bapak? Lepas ni aku harap kau insaf. Aku harap kau jadi anak berjaya. Menyumbang pada ibu bapa. Aku sanggup tinggalkan ijazah aku demi menolong mak bapak aku kat kampung. Aku tak harapkan kau jadi macam aku, aku pun bukan baik sangat. Tapi same2 la kita ingat. Kita pun bakal ada anak nanti. Moga kita menjadi anak yang baik...aminn
Saya ada sebuah kisah yang mahu dikongsikan dengan semua. Mari baca, semoga timbul insaf dalam diri ini.
Pernah, saya menyertai satu operasi di Muar, dan kami bertolak dari Johor Bahru kira-kira jam 10 malam dan operasi selesai jam 6 pagi. Kami terus pulang ke Johor Bahru. Sepanjang perjalanan, saya yang memandu sendiri berhenti hampir tujuh kali kerana terlalu mengantuk.
Pulang ke Johor Bahru, biar bantal memanggil, terpaksa diketepikan. Perlu disiapkan berita yang operasi itu untuk siaran berita tengahari. Bukan mudah. Selesai segalanya, jam sudah hampir 11 pagi. Jam dua pula ada satu lagi tugasan. Begitulah kehidupan. Kais pagi makan petang, jika tak dikais, memang tak makanlah.
Saya lebih cenderung kepada kisah human interest seperti satu operasi yang saya ikuti bersama sahabat sahabat baik di Cawangan Trafik Johor Bahru Selatan yang bersengkang mata tanpa mengira masa membanteras kegiatan lumba haram.
Antaranya termasuk kisah seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang pada mulanya begitu yakin memberi jawapan kepada pegawai serta anggota polis trafik, dia dibenarkan menunggang motosikal oleh bapanya, yang juga pemilik kenderaan itu.
Sebagaimana lazim, pegawai polis bertugas menghubungi ibubapa pelajar itu dan selepas menanti hampir dua jam, akhirnya muncul ibubapanya di tepi jalan Danga Bay.
Dari jauh, tampak si ibu bagai meluru tak sabar sabar untuk tiba ke tempat anak lelakinya berdiri.Si ayah pula berjalan lesu. Waktu tika itu hampir jam empat pagi.
Sebaik tiba di depan anaknya, tanpa lengah si ibu bagai melepas geram terus mencubit dan menampar badan anaknya. Kami terpinga pinga melihatkan situasi itu lantas beberapa anggota polis trafik meredakan keadaan.
Terkedu anaknya yang dua jam lalu, beriya-iya mendakwa ibubapanya sudah memberi keizinan untuk dia menunggang motosikal milik bapanya dan turut dibonceng rakan sekampung berusia 16 tahun.
Ketika cuba ditahan, dia melarikan diri dari sekatan jalanraya dan turut menendang motosikal anggota penguatkuasa yang mengejar mereka!
"Masuk lokap jek encik. Masuk sekolah jahat Henry Gurney. Tak apa, saya rela," tercetus akhirnya luahan hati si ibu sebaik diredakan.
"Aku tak boleh kawal kau lagi. Kat sekolah kau anak murid aku, kat luar aku tak boleh kawal kau seorang. Selama ini kau cakap tak goyang, tak goyang, tengok semua polis ni, tengok.
"Kalau dahi ni tak sujud pada sejadah, inilah jadinya," berterusan si ibu melepaskan geram bagai sebuah drama realiti di depan hampir 50 pegawai dan anggota polis serta anggota Rela yang turut bersama-sama dalam operasi itu.
Suasana menjadi sunyi dan hanya kedengaran suara si ibu. Semua memerhati. Semua bagai menyokong tindakan si ibu. Mat mat rempit lain yang ditahan sebelum ini sibuk berbual sesama sendiri turut kaku melihat adegan itu. Mungkin timbul keinsafan dalam diri mereka?
"Dia cakap, ibu keluar, saya cakap malam minggu jangan keluar. jangan, jangan. Tak tengok kat TV (orang kena tangkap)," luah si ibu dan suaranya beriring nada kekesalan.
"Bila kita marah, dia cakap nak rompak rumah orang. Tak kurang ajar punya anak? Sampai hati kau jadi anak macam ni. Budak sekolah pukul 10 duduk rumah," kata si ibu lagi dan kali ini nada sudah berselang kesedihan.
Tatkala itu, sudah mula mengalir airmata si ibu. Si anak hanya tunduk kaku, tak seperti tika selepas ditahan dua jam sebelum itu, ceria, beriya iya.
Si ayah tak mampu nak berkata kata. Mungkin sudah puas dileteri anaknya itu. Mungkin sudah kering airmata si ayah memikirkan kedegilan anaknya tika dia keluar mencari rezeki buat kesemua anaknya.
Bagi meredakan keadaan, seorang pegawai polis, Inspektor (kini ASP) Mohd Lail Ab Halim mencelah.
"Kami akan charge (tuduh) dia lari dari sekatan jalan," kata Mohd Lail tegas.
Mungkin mendengar penjelasan ringkas Mohd Lail itu, tercetus luahan si ibu lagi.
"Kat rumah berapa kali dia nak tumbuk saya. Sekarang ni apa? Aku ni mak kau. Hari-hari aku doa, Ya Allah jadikanlah anak aku golongan yang baik-baik. Tapi kau apa? Ibu mampus, ibu mampus."
Ketika ini, si ibu mencucuk cucuk perut si anak. Hilang segala kehebatan si anak. Akhirnya ibubapa juga yang datang. Biar marah, kesemua yang menyaksikan bagai mengerti, dia tetap anaknya. Dia tetap darah dagingnya. Mungkin sudah kemuncak kemarahan si ibu.
"Nanti puan datang ke balai trafik untuk jamin anak makcik," jelas Mohd Lail lagi.
Sambil menjeling marah ke arah anaknya, si ibu dengan cepat menjawab: "Jamin kau? No, no. Ibu tak akan jamin kau, tak ada tak ada," katanya bagai puas, biar malam itu menjadi pengajaran buat si anak yang degil itu.
Si ibu berlalu pergi.
Lantas, Mohd Lail mengarahkan anak buahnya untuk membawa pelajar itu ke balai. Tak sempat dibawa, pelajar itu meraung raung menangis mengejar ibunya.
Sekali lagi kami kaget. Si ibu tak memperdulikan. Kami yang melihat bagai menyokong tindakan si ibu. Biarkan dia rasa. Biar dia serik. Biarkan. Itulah kata hati kami. Kami pun marah. Apatah lagi mendengar luahan hati si ibu di pagi yang bening itu.
Berterusan suara si anak merintih pada ibunya. Semakin jelas suaranya. Si ibu berhenti. Dibiarkan anaknya menangis, meraung di depannya. Direnungnya anaknya itu.
Siapa tak sayang anak. Tentu wanita itu ibu yang baik. Apatah lagi sebagai seorang guru, sifat penyayang tinggi dalam diri mereka. Tampak wajah amarah si ibu sudah bertukar menjadi simpati dan penuh kasih sayang, tatkala si anak menarik narik tangan yang sama mengendong dia ketika kecil, memimpinnya ketika melintas jalan, menepuk nepuk tika mahu tidur.
Akhirnya si ibu mengalah. Dipimpin tangan anaknya ke kenderaan polis. Berdiri kaku si ibu melihat si anaknya di bawa pergi.
Selepas segala proses selesai, saya terserempak dengan si ibu berjalan keluar dari balai beriring dengan bapa pelajar itu. Dan di sebelahnya, anaknya tadi, tangan dipimpin erat, kuat kuat bagai tak mahu melepaskan anaknya itu.
Saya sempat bertegur. Menasihat si anak, jika tak kesian pada diri sendiri, kesianlah pada mak ayah. Kesian mereka berhempas pulas membesarkan awak. Esok awak dah kahwin, awak nak anak awak macam awak?
Tertunduk diam si pelajar itu. Saya tepuk bahunya beberapa kali dan sempat berkata padanya, awak mesti anak yang baik sebab tu awak menangis minta maaf pada mak tadi. Dan sempat saya mengucapkan terima kasih kepada si ibu dan ayah kerana tak putus asa dengan kasih sayang pada si anak yang degil ini. Tersenyum si ayah. Bagai mereda hati si ibu.
Itulah antara kisah kisah kecil yang mahu saya jadikan iktibar untuk kita semua. Kongsilah dengan sesiapa, pada anak anak, pada anak saudara atau mungkin pada diri sendiri. Jahat mana sekalipun, ibu ayah tetap bersengkang mata buat anak-anak. Biar sakit lutut, biar membuai diri dek tak lena tidur, demi anak!
Itu hanya sekelumit. Saya memang mahu berkongsi segala kisah di sini tetapi kadangkala masa tak mengizinkan. Yelah kais pagi makan petang. Kalau tak dikais, mahu tak makan petang nanti kan.