Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama  Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah  membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat  keputusan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr.  Ashraf Md. Hashim dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada  Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA),  Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas  seperti berikut:
Syarat Umum Jual Beli
1. Transaksi jual beli emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli  yang digariskan oleh Syarak, iaitu pihak yang berakad, item pertukaran,  dan sighah menurut ’uruf yang diamalkan. Jika sekiranya suatu transaksi  tidak memenuhi salah satu rukun jual beli, transaksi tersebut dikira  tidak sah.
Pihak Yang Berakad
2. Pihak yang berakad mestilah orang yang mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud) iaitu dengan memenuhi kriteria berikut:
i. Baligh, berakal dan rasyid
Jika sekiranya pihak yang berakad seorang yang gila atau kanak-kanak  samada mumayyiz atau tidak mumayyiz, maka jual belinya adalah tidak sah.  Akad oleh kanak-kanak yang mumayyiz adalah tidak sah kerana jual beli  ini melibatkan barang yang tinggi nilainya.
ii. Keredhaan
Akad jual beli mestilah dimeterai oleh dua pihak yang saling reda-meredhai, tanpa ada unsur paksaan, tekanan dan eksploitasi.
Harga Belian (al-Thaman)
3. Harga belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.
Barang Belian (al-Muthman)
4. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang wujud, dan  dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual ketika berlangsungnya  kontrak jual beli. Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara  fizikalnya dan juga jual beli suatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang  menjualnya adalah tidak sah.
5. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh  diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang belian tidak dapat  diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak  menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah.
6. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang diketahui  oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh  terlaksana melalui kaedah-kaedah di bawah:
i. Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli,  atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan  sifat-sifatnya.
ii. Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.
iii. Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci  yang secara urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas,  penentuannya adalah dengan mengenalpasti tahap ketulenan emas samada  mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau  standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999). Penentuan sifat  juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer,  jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu  yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.
Sighah
7. Sighah dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada  keredhaan kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh  berlaku samada melalui pertuturan, atau suatu yang boleh mengambil hukum  pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha’.
8. Di dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan.  Contohnya, seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu  dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun”.
9. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.
Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi
10. Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang  mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian  atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:
i. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang  terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah  daripada majlis akad.
ii. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.
Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.
Perincian taqabudh dan urusniaga lani adalah seperti berikut:
Syarat Pertama: Taqabudh
11. Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua  item jual beli iaitu harga dan juga barang belian (emas), dan ia  hendaklah terlaksana sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis  akad.
12. Penyerahan harga boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:
a. Pembayaran secara tunai
b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c. Pembayaran secara cek peribadi
d. Pembayaran secara kad debit
e. Pembayaran secara kad kredit
f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.
Secara urufnya, kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c)  adalah dianggap sebagai pembayaran tunai oleh penjual. Pembayaran  melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan  mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad  kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara  pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.
Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh  penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara  fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas  transaksi berlaku.
13. Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan  hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan  hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama  seperti penyerahan hakiki, iaitu:
a. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.
14. Majlis akad di dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan  pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad  secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan  ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam  semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.
Perlu diberi perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya  bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya,  pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui  pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad tersebut sampai ke tangan  penjual. Maka majlis akad bermula pada waktu tersebut, jika pihak  penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual  dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada  pembeli secara hakiki atau hukmi.
Syarat Kedua: Secara Lani 
15. Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.
16. Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi  pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara  bayaran ansuran.
17. Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas  akad jual beli dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Manakala bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada  tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan  pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk  mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan  walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain,  penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada  penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga  hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.
Di dalam pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya  melalui proses tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang  berbeza antara negara, perpindahan wang elektronik, clearing house dan  lain-lain lagi. Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat di  dalam perniagaan jual beli emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk  membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang asing.
Namun secara praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas  amaun bayaran yang dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke  dalam akaunnya. Proses ini biasanya akan mengambil masa tiga hari  bekerja. Di dalam menangani tempoh antara penyerahan cek dan penerimaan  emas, maka pihak penjual dan pembeli bolehlah mengambil pakai aturan  berikut:
Pihak pembeli akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan  dinyatakan jenis dan berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan  disertai dengan pengiriman wang ke akaun penjual. Pada tahap ini,  perkara berikut perlu diberi perhatian:
i. Pada peringkat ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.
ii. Wang yang berada di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik  penjual tersebut. Ianya masih milik pembeli dan disimpan sebagai amanah  oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika satu akaun khas  yang bersifat amanah (trust account) dibuka oleh penjual.
iii. Emas masih lagi kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya itu.
iv. Di dalam peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan  yang dibuat dan penjual hendaklah memulangkan wang kepada pembeli.  Namun, jika berlaku kerugian sebenar disebabkan pembatalan tersebut,  bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu ditanggung oleh pembeli.  Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999 dengan harga RM20,000.  Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut dan tidak  menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya.  Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli  dan seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli  membatalkan pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada  RM19,000. Dengan kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika  menjualnya kepada pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar adalah  sebanyak RM1000.
Apabila wang pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual  beli perlu dilakukan. Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah  dipindahkan ke akaun penjual dan emas hendaklah diserahkan kepada  pembeli.
Akad Dan Unsur Sampingan
18. Penglibatan hibah dalam transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang tunai adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak melibatkan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian bahawa hibah  secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di dalam bentuk  lazim. Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan oleh  penjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibah tersebut.
19. Penglibatan wadiah dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang antara lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad Amanah.
20. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah memberi pinjaman (qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi kriteria qardh yang dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh membawa unsur faedah, tidak wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang diikat bersama dengan jual beli.
21. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn  yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara  teorinya, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak  langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak  perlu.
22. Wa’d boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari sebelah pihak dan bukannya muwa’adah  dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam konteks ini  ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk  membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian pembelian ini dinamakan  ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad  jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.
23. Transaksi jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba,  perjudian, gharar yang berlebihan, dan kezaliman. Jika sekiranya  terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli adalah dikira tidak  memenuhi kriteria syarak.